Isnin, 30 Julai 2012

Posted by Putra Zulkhairi | File under : , , ,
Bismillahirrahmanirrahimi wabihi Nastainu Billah

Bersugi juga di sebut dengan perkataan bersiwak. Siwak adalah bahasa Arab yang membawa maksud pencedok dan alatnya, manakala dari segi syarak pula membawa maksud kayu yang digunakan seperti ranting atau sebagainya di dalam mulut dengan tujuan untuk membersihkan gigi.


Sebahagian ulama berselisih pendapat mengenai bersugi adakah mendapat fadhilat sunat bersugi sekiranya dia melakukan dengan tangan sahaja, terdapat pendapat di sisi mazhab Imam Syafie mengatakan bahawa sekiranya dia menggunakan tangan tetap medapat fadhilat sunat bersugi dan ada diantara mereka pula mengatakan tidak mendapat fadhilat sunat tersebut.

Kita boleh menggunakan apa sahaja untuk bersugi dengan syarat alat tersebut hendaklah suci daripada najis dan bersifat kesat, kecualilah dengan tangan kerana dengan tangan bagi sesetengah pendapat tidak mendapat fadhlilatnya. Hukum siwak adalah sunat seperti mana tersebut dalam hadis nabi bersabda, mafhumnya: "bersiwak adalah membersihkan mulut dan mendapat keredaan daripada Allah". [H.R Abu Daud] Hadis ini isnadnya adalah kuat.

Orang yang berpuasa atau dalam bulan Ramadhan bersiwak adalah makruh selepas tergelincir matahari iaitu selepas 'zawal', ini bermakna sekiranya seorang yang berpuasa (sunat) atau berpuasa dalam bulan Ramadhan makruh sekiranya dia bersiwak selepas masuk waktu zohor, iaitu selepas masuk waktu zohor. Adalah lebih baik dia tidak bersiwak kerana diriwayatkan bahawa nabi bersabda mafhumnya: "bauan yang ada dalam mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik daripada bauan 'misk' disisi Allah", [H.R Bukhari] Hukum makruh akan tamat selepas masuknya wakti maghrib.

WAKTU-WAKTU YANG DITUNTUT BERSIWAK

Terdapat beberapa tempat utama yang dituntut untuk bersiwak antaranya ialah selepas berselang masa yang lama dan selepas meninggalkan makanan iaitu selepas makan hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Masalah:

1-Seorang yang berpuasa kemudian dia makan sesuatu dengan keadaan yang terlupa atau makan dalam tidur atau dia termakan makanan yang baunya busuk adakah selepas waktu tergelincir matahari dia turut ditegah bersiwak?

Ulama mengatakan sekiranya dia termakan sesuatu yang baunya ditegah maka disini dia di bolehkan bersiwak tanpa ditegah.

2-Di sisi pendapat ulama Maliki sesiapa yang makan bawang ditegah memasuki Masjid dan orang tersebut boleh di perintah keluar kerana bauan bawang tersebut boleh mengganggu jemaah yang lain.

Bersugi selepas bangun daripada tidur, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sabda Nabi mafhumnya : "sekiranya seseorang bangun daripada tidur maka cucilah mulutnya dengan bersiwak"

Bersugi ketika hendak mendirikan sembahyang, perkara ini adalah sunat kerana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sabda nabi mafhumnya: "sekiranya tidak menjadi keberatan kepada umatku sesungguhnya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali hendak mendirikan sembahyang" dan pada hadis yang lain sabda Rasulullah mafhumnya: "Dua rakaat dengan bersiwak adalah lebih baik daripada 70 rakaat tanpa siwak".

Faedah: Bersiwak hendaklah disertakan dengan niat perbuatan yang kita lakukan tersebut adalah kerana Rasulullah melakukannya sekiranya seseorang bersiwak tanpa niat sunat maka tidak ada pahala siwak baginya.

Begitu juga disunatkan bersiwak pada tempat-tempat yang lain seperti mengambil wuduk iaitu selepas membasuh tangan, sebelum bertayammum, sebelum membaca al-Quran, sebelum tawaf di Kaabah, sebelum sujud tilawah, sebelum sujud syukur, ketika hendak tidur dan ketika hampir kepada kematian. Dan sebaik-baiknya ketika bersiwak ini dengan menggunakan tangan kanan dan dimulai dengan mulut yang sebelah kanan juga dan menggosokkannya dengan lembut serta niat di dalam hati dengan perbuatan sunat.

Wallahualam...

0 comments:

Catat Ulasan

Alangkah baiknya kalau anda share apa yang anda baca...sebarkan kata- kata hikmah, sampaikan dakwah, tonjolkan keindahan Islam...Sekian :-)= (Smiley berjanggut)

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.